Saturday, January 29, 2011

Nabi Adam A.S. [Bab 6] Kampong Syurga

“Nabi Adam tu mesti seorang yang handsome dan bijak. Betul tak tok?” Su bertanya atoknya.

“Mestilah Su. Kita tahu Nabi Yusuf A.S. seorang nabi yang kacak  menawan. Sehingga isteri pembesar Mesir dan wanita-wanita kenamaan Mesir tergoda dan tertawan dengan kekacakkan dan kecantikkan baginda. Itu anugerah Tuhan kepada baginda. Ada  riwayat yang mengatakan kekacakkan Nabi Yusuf cuma satu pertiga dari kekacakkan Nabi Adam. Kan Nabi Adam Allah SWT ciptakan dengan Tangan-Nya sendiri.”

“Nabi Adam seorang yang bijak. Segala ilmu yang diperlukan manusia untuk menjadi khalifah di bumi Allah berikan kepada baginda. Sebagai bekalan untuk Adam dan anak-anak keturunannya memakmurkan bumi.”

“Tok sambung le lagi cerita Nabi Adam tu.” celah Along.

Adam di Syurga.

Selesailah kuiz diantara Adam dan para malaikat. Para malaikat tidak lagi mempertikaikan kemampuan Adam, ciptaan dan calon Allah untuk menjadi khalifah di bumi.

Adam dipersilakan masuk ke syurga. Allah membenarkan Adam tinggal di syurga dan menikmati segala apa yang berada didalamnya. Makan dan minum apa sahaja yang ada disana. Segala jenis buah-buahan yang lazat-lazat, mengikut citarasa sendiri.

Maka duduklah Adam didalam syurga. Menikmati segala keindahan syurga dengan segala burung-burung dan lain-lain haiwan disana.

IMG_0720 2

Adam memerhatikan segala apa yang ada di syurga. Walaupun  segala nikmat ada di dalam syurga tetapi Adam terasa seperti ada kekurangan pada diri baginda,

Diperhatikannya burung-burung terbang berpasangan. Gembira terbang kesana-kemari bersama pasangan masing-masing. Bersuka ria dengan pasangan yang dianugerahkan Allah kepada mereka.

Adam terasa kesunyian dan kesepian .

Terasa perasaan itu semasa menikmati keindahan syurga anugerah Allah, kesunyian dan kesepian melakukannya keseorangan.

Maka diciptakanlah oleh Allah, Hawa. Menjadi pendamping dan teman hidup Adam. Menghilangkan kesunyian dan kesepian Adam.

Menurut riwayat, Hawa diciptakan oleh Allah dari salah satu tulang rusuk sebelah kiri Adam. Sewaktu Adam lena tidur.

Maka gembiralah Adam mendapat isteri anugerah Allah.

Sememangnya manusia memerlukan teman hidup sebagai pelengkap kehidupan. Untuk mendampinginya, memberikan kebahagian dan mengisi keperluan hidup sesuai dengan kehendak Allah.

Tinggallah Adam bersama isterinya Hawa di syurga. Menikmati kenikmatan yang berlimpah-limpah didalamnya.

Cuma Adam diperingatkan dan dilarang untuk mendekati satu pohon sahaja didalam syurga. Ada yang mengatakan pohon itu adalah pohon khuldi.

Pohon yang akan menyebabkan Adam dan Hawa celaka dan termasuk orang-orang yang zalim. Wallahualam.

“Tok penat le petang ni. Cukup le sampai kat sini dulu.”

“Tak apa le tok. Tok rehat dulu. Tok nak air atau apa-apa?” Angah bertanya.

“Terima kasih le Ngah. Tok nak relak je sekejap.”

“Tok tak payah le sambung cerita esok. Kira cuti rehat.” Alang  buat kelakar.

“Betul tu tok.” Su menambah.

“Hahaha.” Atok ketawa dengan karenah cucu-cucunya.

No comments:

Post a Comment