Tuesday, January 25, 2011

Nabi Adam A.S. [Bab 5] Kuiz antara Adam Malaikat

Petang ini nenek telah sediakan biskut siput yang digemari oleh cucu-cucunya sebagai penyedap mulut. Nenek juga sediakan milo.

“Tok, kita minum dulu!” Along mencadangkan.

“Boleh juga. Tok nak juga rasa biskut nenek kamu ni.”

“Semalam tok kata nak ceritakan pasal kuiz yang diadakan antara Nabi Adam dan para malaikat. Kenapa perlu ada kuiz tok?” Su bertanya.

Maka atok pun memulakan sambungan kisah Nabi Adam a.s……

Kuiz antara Nabi Adam dan para malaikat.

Para malaikat kurang yakin dengan kemampuan makhluk baru ini. Makhluk yang akan dijadikan khalifah untuk bumi.

Perlu diingatkan bahawa para malaikat adalah makhluk yang selalu bertasbih, bertahmid, melakukan ibadah dan mengagungkan nama Allah tanpa henti-henti.

Mereka berkeyakinan bahawa makhluk baru ini iaitu manusia akan saling bunuh-membunuh untuk menguasai kekayaan bumi samada yang berada dipermukaannya atau yang terpendam didalamnya.

Manusia akan merosakkan dan menghancurkan bumi yang Allah ciptakan itu.

Untuk menghilangkan persepsi para malaikat terhadap Adam dan menyakinkan mereka akan kebenaran Allah memilih Adam dan keturunan-keturunannya sebagai penguasa bumi maka diadakan satu kuiz.

Adam diajar nama-nama benda yang berada di alam semesta. Ada riwayat menyatakan segala nama benda-benda di bumi pada masa itu dan dimasa akan datang. Wallahualam.

Allah memperlihatkan benda-benda tersebut kepada para malaikat dan menduga mereka supaya menyebutkan nama benda-benda itu kepada-Nya.

Para malaikat tidak dapat menyahut cabaran Allah SWT. Mereka tidak dapat menyebut nama-nama benda yang ditayangkan dihadapan mereka.

Adam dengan mudah menyebut nama-nama benda yang diperlihatkan itu apabila diperintahkan oleh Allah.

Dengan itu, para malaikat mengakui mereka tidak memiliki pengetahuan tentang sesuatu kecuali apa yang Allah ajarkan kepada mereka.

No1119

Sesuai sebagai penguasa yang dilantik untuk bumi, Adam dan keturunannya dikurniakan dengan otak.

Otak ialah salah satu organ paling besar didalam badan manusia. Ia mengandungi lebih kurang 100 billion neuron. Berat otak manusia dewasa diantara 1,300-1,400 g.

Otak merupakan organ bagi pusat kawalan utama badan dan juga organ pemproses maklumat pusat badan. Ianya merupakan pusat akal dan minda.

Anak keturunan Adam juga diberikan nafsu. Secara mudah dikatakan keinginan, kecenderungan atau dorongan hati yang kuat.

Akal dan nafsu ini yang digunakan oleh manusia untuk memilih jalan hidup mereka. Keduanya mencorak kehidupan manusia.

Ada keadaan akal dapat mengekang nafsu. Ada keadaan nafsu menguasai akal.

Itu adalah pilihan sendiri makhluk yang dinamakan manusia.

Samada mengikuti jalan yang benar atau mengikuti jalan yang bengkang-bengkok.

BERSAMBUNG…..

No comments:

Post a Comment