Monday, January 17, 2011

Nabi Adam A.S. [Bab 1]

“Tok!” jerit Along. Orang tua itu menoleh kepada cucunya yang sedang duduk di pangkin di bawah rumah. “Sini le tok”.

“Long nak apa? Tok nak solat asar dulu. Dah lewat ni!” Orang tua itu terus masuk kedalam rumah.

“Long nak apa tadi.?”  “Saja je tok. Saja-saja nak berbual dengan tok.”

“Mana adik-adik kamu?”  “Kat dapur, tolong nenek  sediakan minum petang.”

Along, Angah, Alang dan Su berada di kampung ibu mereka. Cuti semester dan cuti persekolahan, mereka berempat bercadang untuk berada disana selama beberapa hari.

“Tok cerita le tok, apa-apa cerita yang tok ingat.” “Ish kamu ni! Kan tok dah ceritakan semuanya masa kamu kecik dulu.” “Takpe le tok. Buat macam siaran ulangan je.”

“Tak nak tunggu Angah, Alang dan Su dulu?” “Mereka lambat tu tok. Sedang menggoreng pisang. Lama lagi tu.”

Orang tua tu tergaru-garu kepalanya yang tak gatal. Terfikir dek dia, cucunya semua dah besar. Sekarang ni jika nak bercerita kena ada fakta yang betul. Masa cucu-cucu kecik dahulu, fakta tak perlu tepat sangat. Dalam fikirannya berkata, dulu lain, sekarang lain.

Along dapat merasakan dilema yang dihadapi atoknya. “Tok cerita je kisah Nabi Adam. Rasanya Alang dan Su tak pernah dengar lagi cerita tok.” Along memberi cadangan.

Orang tua tu mengangguk-angguk kepalanya.

Maka atok pun mulai bercerita.

Kisah Nabi Adam a.s.

Allah SWT mengumumkan kepada malaikat kehendak-Nya mahu mencipta makhluk baru.

Para malaikat terkejut dengan pengkhabaran itu. Mereka berasa gelisah kerana mereka takut Allah Taala mencipta makhluk baru ini kerana para malaikat lalai dari memuji dan beribadat kepada Allah.

Allah memaklumkan bahawa makhluk baru ini akan menjadi khalifah di bumi. Menguruskan segala khazanah disana dan memakmurkan bumi mengikut peraturan yang disediakan oleh Maha Pencipta.

Para malaikat terkejut sekali lagi mendengar berita itu.  Mereka mahu mendapatkan kepastian lalu berkata kepada Allah SWT. “Adakah Maha Pencipta mahu mencipta makhluk yang akan melakukan kerosakkan di mukabumi dan saling bunuh membunuh sesama sendiri dan menghancurkan dunia?”.

Allah menghilangkan kegelisahan para malaikat  dengan firman-Nya: “Aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui dan Aku sendirilah yang megetahui hikmat penguasaan Bani Adam atas bumi-Ku. …..”

Ada riwayat mengatakan Allah telah mengutuskan malaikat untuk mengambil tanah di bumi untuk mencipta makhluk baru itu.

Bila sahaja malaikat itu mahu mengambil tanah yang dimaksudkan, bumi berkata: “Aku tidak mengizinkan sebahagian dari aku digunakan untuk mencipta makhluk yang akan merosakkan permukaan aku dikemudian hari.”

Lalu pulanglah malaikat itu menghadap Allah menyatakan keengganan bumi memberi tanahnya.

Malaikat kedua yang diutuskan oleh Allah pun pulang dengan hampa. Lalu Allah mengutuskan malaikat seterusnya.

Malaikat ini mengambil dengan paksa tanah dari tujuh bahagian di bumi untuk makhluk ciptaan Allah.

Malaikat yang berjaya mengambil tanah itu dikatakan bernama Izrail. Dan Allah menugaskan malaikat ini mengambil nyawa manusia dan mengembalikannya kepada bumi bila tiba masa yang ditentukan-Nya. Malaikat ini lebih dikenali dengan panggilan Malaikat Maut.”

No1100

Allah menciptakan Adam dari segumpal tanah liat, kering dan lumpur hitam. Setelah disempurnakan bentuknya, ditiupkan roh ciptaan Tuhan kedalamnya. Maka berdiri tegaklah ia menjadi manusia yang sempurna.

“Atok minum.” Angah menghulur secawan kopi-O pekat kepada Atok.

“Jom kita minum dulu Long. Nampak menyelerakan pisang yang digoreng oleh Angah ni.”

“Atok ni bukan nak tunggu kami. Kami pun nak jugak dengar cerita Nabi Adam tu.” Alang mencelah. Su mengangguk-anggukkan kepala bersetuju.

“Alang dan Su jangan merajuk. Lepas minum nanti tok sambung kisah Nabi Adam. Tok nak cerita jugak mengenai satu makhluk ni yang mempunyai ego yang sangat tebal dan suka banding membanding sesama makhluk dan merupakan pembangkang yang besar.”

BERSAMBUNG…..

No comments:

Post a Comment