Habis pisang goreng yang dihidangkan. Pisang tanduk yang selalunya tidak berapa digemari oleh budak-budak tu terasa enak bila dimakan beramai-ramai. Tersenyum kedua-dua orang tua yang melihat gelagat cucu-cucu mereka.
“Nak tok sambung cerita Nabi Adam tu?” “Nanti tok. Biar kami uruskan dulu besen dan cawan-cawan ni.” Angah mencelah.
“Takpe Ngah. Biar nenek yang buat. Kamu semua duduk disini sahaja.”
“Haa…. atok boleh stat sekarang.” Su memberi cadangan.
Maka atok pun menyambung ceritanya…..
Malaikat Izrail.
Ada riwayat yang menyatakan, malaikat Izrail merasa susah hati kerana amanah yang diberikan oleh Allah kepada beliau. Malaikat itu susah hati kerana jika terjadi kematian kepada anak cucu Adam, beliau akan dipersalahkan. Ini akan membuatkan manusia membenci beliau.
Allah Taala menenangkan Izrail dengan menyatakan bahawa setiap kematian anak cucu Adam akan bersebab. Kemalangan, sakit, tua dan lain-lain.
Manusia tidak akan menyalahkan Izrail atas sebab-sebab tersebut. Barulah Izrail merasa tenang. Wallahualam.
Setelah Allah menghidupkan Nabi Adam, para malaikat diperintahkan untuk sujud kepada makhluk baru ciptaan Allah ini.
Sujud sebagai menghormati bukan sujud ibadah.
Para malaikat menyahut perintah Allah SWT itu. Semua mereka tunduk dan patuh.
Ada makhluk membangkang.
Bila Allah memerintahkan para malaikat bersujud kepada Adam, ada makhluk yang enggan melaksanakan perintah itu.
Makhluk ini merasakan dirinya terlebih baik dan terlebih mulia dari mahkhluk baru ini.
Makhluk ini yang memulakan apa yang dikatakan konsep ‘perbandingan’. Ia berkata: “Aku lebih mulia dan lebih baik dari dia. Kejadian aku dari api walhal dia dari lumpur.”
Kerana keegoan yang tinggi, makhluk ini mendapat laknat Allah, dikeluarkan dari kalangan malaikat dan diusir dari syurga.
Makhluk itu adalah Iblis!
“Atoknya, dah nak senja. Cukuple tu. Kata nak ke surau. Tak nak bersiap ke?” Nenek mengingatkan atok.
BERSAMBUNG…..
No comments:
Post a Comment