Friday, January 21, 2011

Nabi Adam A.S. [Bab 3] Iblis kantoi kerana ego

Selepas makan tengahari Su mengingatkan atoknya “Atok jangan lupa lepas asar, kita sambung kisah Nabi Adam.”

“Nanti le, masa kat kebun nanti tok fikirkan.”

Lepas asar mereka semua berkumpul kat pangkin dibawah rumah. Siap dengan minuman petang sekali.

Nenek tak masuk campur petang tu. Nenek kat dapur nak siapkan biskut siput kegemaran cucu-cucunya.

Atok pun memulakan sambungan kisah Nabi Adam…..

Iblis Laknatullah.

Maka terkeluarlah Iblis dari kalangan malaikat. Iblis laknatullah diusir dari syurga.

Kita telah diberitahu bahawa kejadian malaikat adalah dari cahaya. Iblis pula dari api.

Perbezaan besar dari segi kejadian masing-masing.

IMG_0544 2

Riwayat ada mengatakan bahawa lama sebelum manusia menduduki bumi, ada makhluk lain yang menghuninya.

Lebih kurang seribu tahun selepas makhluk ini baru manusia menduduki bumi.

Makhluk ini asal kejadian mereka dari api. Mereka ini adalah dari golongan ‘jin’.

Mereka ini merosakkan bumi dan saling bunuh-membunuh sesama sendiri.

Kerana itu Allah Taala mengutuskan malaikat untuk tenteramkan bumi dan memenjarakan golongan jin ini disuatu tempat.

Ketua golongan jin yang ditawan pula dibawa naik ke langit.

Ketua jin yang ditangkap ini kuat beribadat dan hingga suatu masa dikatakan diangkat menjadi ketua para malaikat.

Dia dikenali dengan nama Azazil. Dia juga dikurniakan dengan doa yang mustajab.

Dikatakan juga ketika para malaikat mendengar perkhabaran  bahawa Allah SWT berkehendakkan mencipta makhluk baru, para malaikat pergi bertemu dengan Azazil.

Dalam pertemuan itu para malaikat meminta Azazil mendoakan agar mereka termasuk didalam golongan yang tidak akan sekali-kali melanggar perintah Allah.

Azazil berdoa seperti yang diminta oleh para malaikat.

Bila diperintah untuk sujud kepada Adam, Allah kabulkan doa Azazil, dengan para malaikat semua tunduk dan patuh.

Malangnya apabila Azazil berdoa, dia tidak berdoa sekali untuk dirinya.

Akibatnya dia kufur dengan perintah Allah.

Benar! Azazil dan Iblis adalah makhluk yang sama!

Apabila Iblis kufur, Allah melaknatnya dan dia dicop sebagai penghuni neraka.

Si laknat itu menerima hukuman Allah dengan sombong.

Dia memohon kepada Allah agar dia diberi kesempatan untuk hidup kekal hingga hari kebangkitan.

Allah membenarkan permohonan Iblis. Tetapi Iblis ternyata bukan dari golongan mereka-mereka yang bersyukur.

Iblis dengan egonya mengancam akan memperdaya dan menyesatkan Adam dan anak-anak keturunannya.

Dia akan memujuk mereka melakukan maksiat dan perkara-perkara yang terlarang.

Dia akan menggoda mereka supaya melalaikan perintah-perintah agama dan mempengaruhi mereka agar tidak bersyukur.

Dia juga akan mempastikan anak-anak keturunan Adam malas dan berat hati untuk beramal soleh.

Dia bersumpah akan melakukannya hingga hari kiamat.

Iblis dan pengikut-pengikutnya akan menjadi isi neraka Jahanam dan kekal disana. Nauzubillah min zalik.

Allah menegaskan bahawa Iblis tidak akan berdaya menyesatkan hamba-hamba Nya yang telah beriman kepada-Nya dengan sepenuh hatinya dan memiliki aqidah yang mantap yang tidak akan tergoyah oleh rayuan Iblis walaupun Iblis menggunakan segala kepandaiannya menghasut dan memfitnah.

Iblis kantoi bila berhadapan dengan dugaan Allah SWT dan dia bersumpah yang dia akan dengan segala upaya membawa anak-anak keturunan Adam bersamanya ke neraka.

BERSAMBUNG…..

No comments:

Post a Comment