Monday, February 7, 2011

Nabi Adam A.S. [Bab 7] Best actor sepanjang zaman

“Atok nak sambung cerita Nabi Adam petang ni?” Along bertanya pada atoknya setelah dua hari berlalu.

“Kamu semua tunggu atok kat tempat biasa lepas asar.”

Petang itu semua cucu-cucu atok telah bersedia di pangkin kat bawah rumah.

“Semua dah minum petang ke?” tanya atok.

“Kami masih kenyang lagi le tok. Atok nak minuman ke?” Tanya  Angah.

“Tak pe. Tok pun masih kenyang juga. Ok. Tok nak cerita tentang aktor terbaik sepanjang zaman.”

Adam dan isteri di dalam syurga dan aksi Iblis.

Adam dan isteri baginda, Hawa dibenarkan mendiami syurga dengan segala kenikmatan yang disediakan oleh Allah.

Kebahagian yang anugerahkan oleh Allah dan dikecapi oleh Adam membuatkan Iblis semakin membuak-buak rasa irihati dan dengkinya kepada baginda.

Ada riwayat mengatakan bahawa Iblis masih bebas untuk menyelinap masuk (dengan izin Allah) kedalam syurga walaupun telah dihalau keluar dari sana.

No1110

Lalu Iblis laknatullah pun mula menyucuk jarum-jarum penyesatkan kedalam Adam dan Hawa.

Dipujuk kedua suami isteri itu dengan kata-kata manis. Dirayu dengan lembut.

Didatangi kedua-duanya dari hadapan, dari belakang dan dari segenap penjuru hati mereka.

Segala usaha dilakukan untuk membuat Adam dan Hawa memakan buah terlarang.

Tanpa berputus asa Iblis terkutuk mendatangi Adam dan Hawa memujuk rayu.

Ditunjukkan pohon  terlarang itu kepada kedua-duanya. Diperlihatkan kecantikkan bentuk buah dan keharuman pohon berkenaan.

Dikatakan kepada kedua-duanya bahawa Allah melarang mereka memakan buah dari pohon larangan bukan kerana apa, cuma kerana mereka akan menjadi malaikat dan hidup kekal abadi didalam syurga.

Ada riwayat mengatakan, Hawa dahulu yang termakan pujuk rayu, kata-kata lembut dan manis Iblis laknatullah.

Sesudah itu Hawa pun memujuk pula suaminya untuk memakan buah dari pohon larangan itu.

Disebabkan mereka memakan buah terlarang maka Adam dan Hawa menerima celaan dari Allah.

Mereka berdua mendapat celaan kerana Allah telah melarang keduanya untuk mendekati pohon dan memakan buah dari pohon tersebut. Dan terutamanya mereka berdua juga telah diingatkan bahawa Iblis dan syaitan adalah musuh mereka yang nyata.

Maka tersedarlah mereka bahawa mereka telah melanggar perintah Allah.

Adam dan Hawa menyesal kerana mendengar dan termakan pujuk rayu Iblis lalu melanggar perintah Allah.

Maka mereka memohon ampun dari Allah dengan mengatakan bahawa mereka telah menganiaya diri mereka sendiri dan jika Allah tidak mengampunkan mereka maka mereka akan tergolong didalam golongan orang-orang yang rugi.

Bersambung.

No comments:

Post a Comment