Sunday, February 13, 2011

Nabi Adam A.S. [akhir] Selamat tinggal Kg. Syurga

Apabila Adam dan Hawa melanggar larangan Allah maka secara tidak langsung syurga bukan lagi merupakan tempat tinggal untuk mereka berdua.

Iblis telah berjaya memperdaya datuk dan nenek manusia sehingga mereka terpaksa meninggalkan kampong halaman asal manusia.

No1096

Allah telah menerima taubat Adam dan Hawa dan memerintahkan mereka turun ke bumi untuk menjadi ibu dan bapa kepada hamba-hamba Nya yang bernama manusia.

Bila berada di bumi, Adam dan Hawa menghadapi cara hidup yang amat berlainan dengan hidup di syurga.

Mereka merupakan perintis yang ditetapkan oleh Allah untuk menempuh hidup di dunia yang fana dengan segala suka dan dukanya.

Dari zuriat mereka akan berkembang umat manusia yang beraneka ragam sifat dan tabiatnya. Yang berlainan bangsa, warna kulit dan bahasa.

Manusia yang saling tindas-menindas, musuh-memusuhi dan saling bunuh-membunuh sesama sendiri.

Dari waktu ke waktu, Allah mengutuskan nabi-nabi Nya dan rasul-rasul Nya untuk memimpin hamba-hamba Nya ke jalan yang lurus penuh damai dan kasih sayang.

Nabi-nabi dan rasul-rasul yang terdiri dari kalangan manusia juga, ditugaskan oleh Allah untuk membawa manusia kembali ke kampong halaman asal manusia.

Perkampongan Syurga!

Bukan semua yang akan kembali kesana. Cuma hamba-hamba Nya yang mengikuti jalan yang lurus akan kembali menghuninya.

Yang segelintir lagi yang mengikuti hawa nafsu dan bujukan Iblis Laknatullah akan bersama-sama dengan penghulu mereka di neraka. Nauzubillahi min zalik.

Iblis Laknatullah dicampakkan ke bumi. Sebelum itu dia telah memohon beberapa permintaan kepada Allah.

Iblis berkata

Allah berfirman

“Binalah bagiku sebuah rumah”.

“Aku jadikan tandas-tandas sebagai rumah engkau”.

“Jadikan bagiku tempat perhimpunan”.

“Aku jadikan pasar-pasar dan perhimpunan ditepi-tepi jalan sebagai medan perhimpunan engkau”.

“Sediakan bagiku makanan”.

“Aku jadikan makanan engkau daripada makanan yang dimakan tanpa menyebut nama-Ku”.

“Jadikan bagiku minuman pula”.

“Minuman engkau ialah setiap air yang memabukkan”.

“Jadikan bagiku tukang azan”.

“Seruling adalah tukang azanmu”.

“Jadikan bagiku sebuah al-Quran”.

“Syair-syair adalah al-Quran engkau”.

“Berilah aku kitab”.

“Tatu yang dilukis oleh manusia dimana-mana anggota badannya Aku jadikan kitab engkau”.

Iblis seterusnya mahu supaya Allah menjadikan baginya hadith-hadith lalu Allah menjadikan kata-kata dusta sebagai hadithnya.

Selain itu Iblis turut meminta disediakan baginya rasul-rasul. Lalu Allah menjadikan para tukang tilik sebagai rasulnya.

Akhir sekali Iblis berkata, “Wahai Allah! Jadikan bagiku satu perangkap”.

Lalu Allah menyatakan, “Jadikanlah para wanita yang lemah itu sebagai perangkap engkau”.

“Tok rasa cukup le sampai disini sahaja kisah Nabi Adam A.S. Dah dekat seminggu tok ceritakan kisah ini”.

“Terima kasih le tok. Banyak juga ikhtibar yang kami dapat”. Along menyatakan.

“Tok tak nak sambung kisah nabi-nabi yang lain ke?” Angah bertanya.

“Betul tok! Takkan cerita Nabi Adam sahaja?” Alang mencelah.

“Tok mesti ada cerita lain nanti. Tunggu je”. Su berkata.

TAMAT.

(Permintaan Iblis bersumber dari Kisah Orang Soleh-Jab. Mufti Kerajaan Negeri NSDK)

No comments:

Post a Comment