Sunday, July 24, 2011

Ramadan dan kelebihan di bulan itu

Syaaban akan meninggalkan kita. Lebih kurang seminggu lagi umat Islam akan menyambut bulan Ramadan atau dikenali juga sebagai bulan puasa.

Rakan-rakan

Ramadan adalah bulan umat Muhammad SAW.

Bersabda Rasulullah SAW bermaksud, “Apabila tiba bulan Ramadan maka akan dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutupkan pintu-pintu neraka lalu diikatkan semua syaitan.”

Sabda baginda dalam hadis yang lain, “Jika umat manusia itu mengetahui akan kelebihan yang ada di dalam bulan Ramadan nescaya umatku akan menginginkan supaya dijadikan sepanjang tahun itu sebagai bulan Ramadan.”

  • Setiap amalan kebajikan akan digandakan oleh Allah sebanyak 1,000 kali ganda.
  • Setiap amalan sunat akan diberikan ganjaran pahala amalan fardu.
  • Ramadan dibahagikan kepada tiga bahagian istimewa bagi mereka yang berpuasa iaitu bahagian pertamanya dipenuhi dengan rahmat Allah, bahagian kedua dipenuhi dengan keampunan dari Allah dan bahagian ketiga pembebasan dari siksa api neraka.
  • Dituntut supaya mengerjakan solat sunat tarawih, witir dan solat-solat sunat yang lain.
  • Banyakkan berdoa, berzikir, selawat, membaca al Quran, bertaubat dan lain-lain amalan sunat.
  • Banyakkan bersedekah kepada fakir miskin dan membantu mereka yang berada didalam kesusahan dan yang ditimpa kemalangan.
  • Memberi makan kepada mereka yang hendak berbuka puasa.
  • Menggandakan amalan sunat terutamanya pada 10 hari terakhir Ramadan bagi mengharapkan keberkatan dan kebesaran malam ‘Lailatul Qadar’ seperti beriktikaf di masjid dan sebagainya.
  • Menghidupkan malam-malam Ramadan dengan mendirikan qiamullail terutama pada 10 hari yang terakhir.

Sama-samalah kita merebut ganjaran yang ditawarkan oleh Allah Taala kepada kita umat Muhammad SAW. Semoga kita semua mendapat rahmat Allah, keampunanNya dan paling utama pembebasan dari siksa api neraka.

Wallahualam.

[Sumber: Dairi Islamiah]

Friday, July 1, 2011

Syaaban dan kelebihan amalan di bulan itu

Rejab sudah sampai dipenghujung dan kita akan menyambut Syaaban pada 03/07/2011.

Masjid 2a

Syaaban adalah bulan Rasulullah s.a.w.

Bersabda Rasulullah s.a.w. yang maksudnya, “Dinamakan dengan Syaaban (berserak-serak) itu adalah kerana didalamnya terdapat banyak kebajikan yang berserak-serak.”

  • Setiap amalan kebajikan akan digandakan oleh Allah dengan 700 kali ganda.
  • Allah akan menurunkan rahmatNya serta memberikan pengampunan umum kepada hambaNya.
  • Sesiapa yang berpuasa 3 hari di awal, pertengahan dan di akhirnya maka Allah akan menuliskan baginya pahala beribadat selama 70 tahun dan jika ia meninggal pada tahun itu maka ia akan mendapat pahala mati syahid.
  • Kelebihan malam nisfu Syaaban pula ialah sesiapa yang bangun mendirikan solat sunat dan menghidupkan malam itu dengan banyak berdoa, berzikir, berselawat, bertasbih, membaca al Quran dan sebagainya maka Allah akan membukakan untuknya 300 pintu rahmat disamping doanya tidak akan ditolak.
  • Orang-orang yang tidak diampunkan oleh Allah pada malam nisfu Syaaban ialah mereka yang menyekutukan Allah dengan sesuatu, tukang sihir, tukang nujum, mereka yang suka bermusuhan, peminum arak, penzina, pemakan riba, derhaka terhadap kedua ibu bapa, pembuat fitnah dan mereka yang memutuskan tali silaturrahim.

Sama-samalah kita mencari keredhaan Allah Taala. Semoga amalan kita walau sekecil mana sekali pun di terima oleh-Nya.

Wallahualam.

[Sumber: Diari Islamiah]